Monthly Archives: April 2009

UJIAN KESUSAHAN -DIBENCI OLEH NAFSU

Dalam kehidupan ini, kebanyakan manusia takutkan
kesusahan dan ujian. Mereka takut miskin. Mereka
takut jadi susah. Mereka takut jatuh sakit. Mereka
takut kehilangan harta benda. Mereka takut turun pangkat atau
hilang jawatan. Mereka takut dihina. Mereka takut dipulaukan
dan sebagainya. Kalau boleh, manusia ingin selalu senang, kaya,
sihat, tidak diganggu atau dizalimi dan sentiasa hidup dalam
keadaan tenang, aman, damai dan harmoni.

Namun, hidup di dunia tidak akan sunyi dari ujian dan kesusahan.
Selagi dunia bernama dunia, ujian dan kesusahan akan
tetap ada. Ia adalah adat dan resam hidup. Hadith ada menyebut:

Maksudnya: “Dunia itu negara bala’ dan ujian”.

Sebenarnya, yang benci dan takutkan kesusahan dan ujian
itu ialah nafsu. Nafsu tidak suka pada kesusahan. Nafsu tidak
suka pada ujian, pada lapar dan dahaga, pada kemiskinan, pada
kemelaratan, pada sakit, pada mujahadah, dan pada apa sahaja
yang tidak sesuai dengan kehendak dan keinginannya.

Nafsu sebenarnya lebih jahat dan berbahaya dari syaitan.
Syaitan boleh dihalau tetapi nafsu berada dalam diri kita. Nafsu
adalah jalan bagi syaitan. Kalau nafsu kita terdidik, maka sempitlah
jalan syaitan untuk menggoda dan menipu kita. Tetapi
kalau nafsu tidak terdidik, maka luaslah jalan syaitan.

Hendak mendidik nafsu bukan mudah. Nafsu pernah angkuh
dan sombong dengan Tuhan. Dia pernah berkata pada Tuhan:

“Engkau-engkau, aku-aku.” Dia pernah direjam seribu tahun
dalam neraka. Nafsu hanya takut dengan Tuhan. Dia tidak takut
dengan makhluk.

Oleh itu, hendak mendidik nafsu, kita perlu ada rasa cinta
dan takut dengan Tuhan. Kita perlu bersandar kepada kehebatan
dan kekuasaan Tuhan. Kalau rasa-rasa ini tidak ada, maka tidak
ada apa yang akan dapat mendorong dan menahan atau menghalang
nafsu. Rasa cinta pada Tuhan itu akan mendorong nafsu
supaya menjadi tenang dan jinak. Rasa takut dengan Tuhan pula
akan menahan nafsu dari menjadi terlalu rakus, liar dan tidak
terkawal.

Untuk mendidik nafsu, hendaklah kita berbicara dengannya.
Katakan pada nafsu begini: “Hai nafsu! Aku tahu engkau itu jahat.
Tapi kalau Allah tolong aku, engkau pun aku boleh hadapi.
Walaupun aku ini tidak tahan diuji, tapi kalau aku diuji aku akan
berserah sahaja kepada Tuhan.”

Nafsu kalau tidak dididik, diuji, ditekan, dikekang dan disakitkan,
dia akan berbunga. Kemudian dia akan berbuah. Buah
nafsu ialah segala sifat-sifat keji dan mazmumah seperti sombong,
angkuh, megah, riak, pemarah, jahat sangka, tamak, hasad
dengki, panas baran, bakhil dan lain-lain lagi.

Kalau tidak ada ujian dalam hidup, nafsu akan jadi subur
dan iman akan jadi lemah. Iman hanya akan meningkat dan nafsu
hanya akan tunduk melalui ujian dan kesusahan. Itulah hikmah
Tuhan datangkan ujian. Untuk menyuburkan iman dan melemahkan
nafsu. Jelas bahawa ujian itu adalah tanda kasih sayang
Tuhan.
Allah SWT ada berfirman:

Maksudnya: “Apakah manusia itu mengira bahawa
mereka dibiarkan berkata: ‘Kami telah beriman,’ sedang
kamu tidak diuji lagi.” (Al-Ankabut: 2)

Untuk selamat di akhirat, kita kena membaiki diri. Cara untuk
membaiki diri ialah dengan bermujahadah dan dengan melalui
berbagai-bagai ujian dan mehnah dari Allah.

Pada hakikatnya, tidak ada ujian yang berat ataupun ringan.
Yang ada hanyalah kuat atau lemahnya hubungan kita dengan
Tuhan. Orang yang kuat hubungannya dengan Tuhan, ujian yang
berat dirasakan ringan. Orang yang lemah hubungannya dengan
Tuhan, ujian yang ringan pun terasa berat.

Ujian adalah untuk orang baik dan juga orang jahat. Untuk
orang beriman dan tidak beriman atau lemah iman. Malahan
orang baik dan beriman lebih banyak diuji dan lebih berat pula
ujiannya. Para nabi dan rasul adalah mereka yang paling berat
diuji. Kemudian para wali dan orang-orang soleh. Kemudian
orang-orang awam lain mengikut peringkat iman yang ada pada
mereka. Orang baik diuji untuk meningkatkan darjat mereka.

Orang jahat diuji untuk menginsafkan dan menghapuskan dosa-dosa
mereka. Kalau pun mereka bertaubat, belum tentu diterima
taubat mereka itu tetapi ujian dan mehnah boleh menghapuskan
dosa-dosa mereka sekiranya mereka sabar dan redha.

Jalan ke syurga itu penuh dengan ujian, kesusahan dan penderitaan.
Jalan ke neraka pula penuh dengan kesenangan dan
nikmat. Justeru itu, menempuh dan menjalani ujian dan kesusahan
dari Allah menjadi syarat untuk ke syurga. Ada riwayat di
dalam hadis seperti berikut:

Setelah Allah mencipta syurga dan neraka, maka Allah perintahkan
para malaikat pergi melihatnya. Sekembali para malaikat,
Allah bertanya apa pendapat mereka. Malaikat menjawab: “Tidak
akan ada manusia yang akan masuk neraka kerana siksaannya
sangat pedih dan dahsyat. Semua manusia akan masuk syurga
kerana nikmat di dalamnya sungguh indah”.

Allah Taala kemudian memerintah para malaikat untuk
melihat untuk kali kedua. Sekembalinya para malaikat, Allah
bertanya sekali lagi apa pendapat mereka. Kali ini malaikat
menjawab: “Tidak akan ramai manusia yang dapat masuk ke
syurga. Ramai manusia akan masuk neraka. Kerana syurga itu
dikelilingi oleh perkara-perkara yang sungguh menyakitkan dan
menyusahkan; dan neraka itu dikelilingi oleh perkara-perkara
yang seronok, indah dan mengasyikkan.”

Oleh itu, kalau kita diuji, itu tanda Tuhan telah meletakkan
kita di atas jalan menuju ke syurga. Kita patut banyak-banyak
bersyukur. Kalau Tuhan biarkan kita lalai dan berfoya-foya dan
bergelumang dengan dosa dan noda, itu tanda kita sedang berada
di atas jalan menuju ke neraka. Kita patut cepat-cepat sedar dan
bertaubat.

Kalau nafsu sangat benci pada ujian dan kesusahan, fitrah
pula sebaliknya. Fitrah sangat ingin rasa bertuhan dan suka bersusah-
susah kerana Tuhan. Fitrah rasa puas kalau disusahkan
atau disakitkan asal ia dapat rasa hampir dan dekat dengan
Tuhan.

Apabila nafsu dapat ditundukkan dan dijinakkan, maka fitrah
kita akan menjadi lebih berperanan. Bila fitrah sudah berperanan
dan jiwa telah hidup, maka dia akan terhibur dan merasa bahagia
dengan ujian dan kesusahan. Bila diuji, dia terasa Tuhan itu dekat
dan hampir dan kuat pergantungannya dengan Tuhan. Roh jadi
meriah dan penuh dengan zikrullah. Bila tidak diuji, rasa bimbang
dan cemas takut-takut Allah telah melupakan dia.

Ini berlaku kepada para sahabat. Kalau sehari mereka tidak
diuji oleh Tuhan, mereka mula bimbang. Kalau dua hari tidak
diuji, mereka mula takut. Kalau tiga hari tidak diuji, mereka mula
cemas takut-takut Tuhan telah melupakan dan tidak peduli
kepada mereka lagi.

Kita boleh ukur diri kita dan kita boleh tahu dalam diri kita
nafsu atau fitrah kitakah yang lebih berperanan. Nafsu kitakah
atau fitrah kitakah yang lebih kuat. Kalau kita sangat terdorong
dan terangsang dengan perkara-perkara yang seronok, yang
mengasyikkan, melalaikan, berfoya-foya, seronok dengan dunia
dan takut dan benci kepada ujian dan kesusahan, maka kita
sebenarnya kuat nafsu. Tetapi kalau kita banyak terdorong kepada
akhirat, rela bersusah-payah dan menderita kerana Allah,
tidak takut ujian dan kesusahan dan rasa manis dan indah pula
dengan ujian, maka fitrah kita sudah berperanan. Oleh itu bermujahadah,
menekan, mengekang, menyakitkan dan mendidik
nafsu sangat penting. Nafsu itu mesti dilawan, jangan dilayan.

Baru dia akan tunduk. Kalau nafsu dilayan, dia akan subur dan
melonjak-lonjak. Jangan beri nafsu apa yang dia mahu (yang
haram). Beri dia apa yang dia benci (yang baik).

Orang-orang soleh, kalau diuji, mereka sabar dan tidak
mengadu. Sabar itu sudah tentu ada sakitnya. Orang-orang
muqorrobbin (yang hampir dengan Tuhan), kalau diuji mereka
redha. Redha itu kurang sakitnya kerana ada rasa kerelaan dan
kepuasan. Orang-orang siddiqin (yang benar) pula merasa bahagia
dan terhibur dengan ujian. Itulah makanan bagi jiwa
mereka.

Kalau nafsu sangat benci pada ujian dan kesusahan, fitrah pula sebaliknya.
Fitrah sangat ingin rasa bertuhan dan suka bersusah-susah kerana
Tuhan”.

*Petikan dari inteam website.

Sampaikanlah walau sepatah kata…~

Advertisements

IKHTIAR (something to be think about)

Apabila kuimbas kehidupanku daku sedar
Ia bagai satu roda berputar
Turun naiknya dibaca dan dijangka
Banyak muka telah kutemu datang dan pergi
Ada lebih lama ada sehari
Ada masih ada juga ada yang telah pergi

Kekasih menjadi orang asing
Rakan karib buat kurungsing
Buat apa pening-pening
Kusakit hati denganmu
Tanpamu kutahu aku saja yang mampu

Menentu hala tuju
Membahagiakan diriku
Mewarnakan hidupku
Jangan sekali engkau sangka
Hidupku akan merana

Hidupku akan sukar
Kerana kau tiada aku tak gusar
Aku kan terus ikhtiar

Walaupun kau tiada aku tak gusar
Aku kan ikhtiar

Setinggi-tinggi bangunan megah cecah angkasa
Bisa runtuh dalam sekelip mata
Di mana saja boleh berlaku apa saja
Mungkinkah ini naluri manusia biasa
Mudah berjanji juga mudah lupa
Berdendam dan jatuh-menjatuh sesama kita

Musuh jadi teman sejati
Orang asing jadi kekasih
Buat apa bermuka-muka katakanlah saja
Di hatiku pasti ku saja yang ku perlu

Menentu hala tuju
Membahagiakan diriku
Mewarnakan hidupku
Jangan sekali engkau sangka
Hidupku akan merana
Hidupku akan sukar
Kerana kau tiada aku tak gusar
Aku kan ikhtiar

Benarkah wujud teman sejati
Benarkah ada cinta nan suci
Jika ada buktikanlah
Kerana harapan tipisku hampir musnah

Pening-pening kusakit hati denganmu
Tanpamu kutahu ku saja yang mampu
Buat apa bermuka katakanlah saja
Aku kan terus ikhtiar

(oleh KRU)